Tuesday, 11 September 2012

MENGAPA KE SANA?

Kedudukannya berhampiran dengan muara Sungai Terengganu menyajikan pemandangan indah serta menikmati bayu laut yang segar. Rasai kedamaian perkampungan nelayan yang damai. Dekat dengan pantai mengadap Laut China Selatan yang tidak pernah sunyi dengan deburan ombaknya.
Boleh makan angin di tempat-tempat yang menarik di sana untuk recharge minda dan merangsang idea-idea baru untuk menulis.



BILA KE SANA?

Februari hingga Ogos untuk suasana yang damai. Waktu ini juga sesuai untuk aktiviti luar, ronda-ronda dan bermain pasir di pantai. Bulan Mei hingga Julai pula ada aktiviti mencandat sotong.

September hingga Januari adalah waktu yang mencabar, iaitu musim monsun timur laut aktif. Namun ada perkara menarik berlaku pada musim tengkujuh ini seperti Pertandingan Perahu Layar Monsoon Cup yang dapat dilihat dari Writing Space. Juga Pesta Ubi di sepanjang jalan Manir ke Batu 6. Pelbagai jenis ubi dijual pada waktu ini.


BAGAIMANA KE SANA?

Kedudukan Writing Space tengah-tengah antara pusat bandar Kuala Terengganu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud menjadikannya akses yang mudah. Pengunjung boleh datang dengan kapal terbang ataupun bas ekspress. Dari Lapangan Terbang ataupun Stesen Bas, boleh ambil teksi untuk ke Writing Space (tambang sekitar RM30). Bagi yang mahu meronda-ronda, lebih mudah jika membawa kenderaan sendiri.


LIHATLAH...

Pemandangan Muara Sungai Terengganu yang memukau, juga Pantai Teluk Ketapang yang meriah dengan pengunjung. Juga Bukit Puteri, kubu kerajaan lama. Serta Pulau Warisan yang mendapat jolokan nama iCity Terengganu.

Muzium Terengganu, muzium terbesar di Asia Tenggara yang merangkumi galeri diraja, galeri tekstil, galeri senjata, galeri sejarah, galeri kraf, galeri petroleum, galeri islam, galeri ilmu kejadian, galeri pelayaran & perdagangan serta galeri perikanan dan taman laut.

Tidak jauh dari Muzium, terdapat Taman Tamadun Islam yang memaparkan 22 replika masjid yang cantik  dari seluruh dunia. Di sini jugalah terdapatnya ikon Kuala Terengganu iaitu Masjid Kristal.


MAKAN & MINUM

Rasai keaslian makanan tempatan seperti nasi dagang, nasi lemak ikan tongkol, keropok lekor, sata, otak-otak dan budu.
Di sekitar Writing Space ada warung untuk sarapan pagi, restoran untuk makan tengah hari dan malam. Dekat, hanya perlu berjalan kaki sahaja.

No comments:

Post a Comment